Sunday, April 12, 2009

54 Lokaliti Dikenal Pasti 'kawasan Panas' Denggi

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) :

Lima puluh empat kawasan di empat negeri --Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak -- dikenalpasti sebagai 'kawasan panas' bagi wabak denggi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata ini kerana kesemua kawasan terbabit masih belum bebas daripada wabak denggi walaupun sudah melebihi tempoh sebulan sejak kes pertama dilaporkan.

Sesebuah kawasan itu sepatutnya boleh bebas daripada kes baru dalam tempoh dua minggu melalui langkah kawalan dan pencegahan serta kerjasama penduduk, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebanyak 1,255 kes denggi dilapor bagi kawasan-kawasan itu dengan tempoh wabak antara 30 hari hingga 125 hari.

"Aktiviti kawalan yang dijalankan di kawasan itu juga tidak berkesan kerana kurang kerjasama penduduk seperti rumah tidak dapat disembur kerana tertutup atau enggan, juga kebersihan persekitaran yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata 54 'kawasan panas' itu ialah seperti berikut:

Di Selangor membabitkan kawasan Petaling (Flat A dan Flat C Seksyen 7, Teres A Seksyen 7, Teres A dan Teres B Seksyen 18, Seksyen U3 Subang Perdana dan Seksyen U10 Puncak Perdana);

Kajang (Taman Kajang Perdana, Taman Semenyih Indah, Taman Koperasi Cuepacs Batu 12, Taman Cheras Jaya, Taman Industri Mega, Taman Sri Jelok, Taman Zamrud, Taman Kajang Baru, Taman Kajang Jaya, Seksyen 2 Bandar Sri Putra, Seksyen 2 Bandar Rinching, Zon 1 Taman Sepakat Indah, Zon 1 Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Zon 3 Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, Zon 5 Seksyen 16 Bandar Baru Bangi dan Zon 4 Taman Bukit Mewah);

Shah Alam (Apartment Perdana Seksyen 13, Flat 18/3 (Eps 2), Flat PKNS Seksyen 20, Flat Seksyen 6, Padang Jawa B, Padang Jawa C, Pangsapuri Anggerik Seksyen 16, Seksyen 10, Seksyen 11, Taman Alam Indah Seksyen 33, Teres A Seksyen 25, Teres C Seksyen 27, Teres A Seksyen 25 dan Teres A Seksyen 8);

Gombak (Bandar Baru Selayang F2, Kampung Laksamana, Taman Pinggiran Batu Caves Z2, Taman Samudera Timur dan Taman Sri Gombak Zon 3); Subang Jaya (Taman Puchong Perdana dan Taman Serdang Perdana); Hulu Selangor (Bandar Baru Batang Kali); Hulu Langat (Kampung Sg Kantan Kajang dan Kuarters Penjara Kajang); dan di Sepang (Taman Seroja Zon A).

'Kawasan panas' di Kuala Lumpur ialah Apartment Mentari, Lestari, Cendana, Bandar Sri Permaisuri, Flat Sentul Utama, Menara Orkid Bandar Baru Sentul dan Taman Setiawangsa, manakala di Pahang ialah Taman Mahkota Bukit Sekilau, Kuantan dan di Perak membabitkan kawasan Taman Mewah Kamunting, Taiping.

Sementara itu Dr Ismail berkata pada keseluruhannya terdapat 273 lokaliti wabak itu di seluruh negara berikutan terdapat sekurang-kurangnya dua kes dilaporkan di setiap lokaliti dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Sebanyak 195 kes dilapor di Selangor, Kuala Lumpur (32), Johor (11), Pahang (9), Perak (8), Pulau Pinang (6), Sabah (3), masing-masing dua di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka serta satu kes di Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Mengenai keadaan denggi semasa, Dr Ismail berkata sebanyak 1,310 kes dengan lima kematian dilapor di seluruh negara bagi tempoh 18 Jan hingga 25 Jan lepas, berbanding 1,578 kes dan empat kematian pada minggu sebelumnya.

"63 peratus daripada kes ini berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur, manakala negeri lain juga menunjukkan peningkatan kes kecuali Terengganu, Sabah dan Labuan," katanya.

Bagi kes Chikungunya, Dr Ismail berkata sebanyak 136 kes dilapor dalam tempoh yang sama dengan majoriti kes ialah di Perak (48), Selangor (24), Johor (17) dan Kelantan (16).

Secara keseluruhan, jumlah kes denggi sejak 1 Jan hingga 25 Jan tahun ini ialah 4,521 kes dengan 13 kematian, manakala Chikungunya mencatat 500 kes, katanya.

Maklumat denggi dan Chikungunya boleh didapati daripada laman web kementerian di www.moh.gov.my atau daripada fasiliti kementerian berdekatan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment