Showing posts with label vektor. Show all posts
Showing posts with label vektor. Show all posts

Sunday, April 12, 2009

54 Lokaliti Dikenal Pasti 'kawasan Panas' Denggi

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) :

Lima puluh empat kawasan di empat negeri --Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak -- dikenalpasti sebagai 'kawasan panas' bagi wabak denggi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata ini kerana kesemua kawasan terbabit masih belum bebas daripada wabak denggi walaupun sudah melebihi tempoh sebulan sejak kes pertama dilaporkan.

Sesebuah kawasan itu sepatutnya boleh bebas daripada kes baru dalam tempoh dua minggu melalui langkah kawalan dan pencegahan serta kerjasama penduduk, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebanyak 1,255 kes denggi dilapor bagi kawasan-kawasan itu dengan tempoh wabak antara 30 hari hingga 125 hari.

"Aktiviti kawalan yang dijalankan di kawasan itu juga tidak berkesan kerana kurang kerjasama penduduk seperti rumah tidak dapat disembur kerana tertutup atau enggan, juga kebersihan persekitaran yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata 54 'kawasan panas' itu ialah seperti berikut:

Di Selangor membabitkan kawasan Petaling (Flat A dan Flat C Seksyen 7, Teres A Seksyen 7, Teres A dan Teres B Seksyen 18, Seksyen U3 Subang Perdana dan Seksyen U10 Puncak Perdana);

Kajang (Taman Kajang Perdana, Taman Semenyih Indah, Taman Koperasi Cuepacs Batu 12, Taman Cheras Jaya, Taman Industri Mega, Taman Sri Jelok, Taman Zamrud, Taman Kajang Baru, Taman Kajang Jaya, Seksyen 2 Bandar Sri Putra, Seksyen 2 Bandar Rinching, Zon 1 Taman Sepakat Indah, Zon 1 Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Zon 3 Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, Zon 5 Seksyen 16 Bandar Baru Bangi dan Zon 4 Taman Bukit Mewah);

Shah Alam (Apartment Perdana Seksyen 13, Flat 18/3 (Eps 2), Flat PKNS Seksyen 20, Flat Seksyen 6, Padang Jawa B, Padang Jawa C, Pangsapuri Anggerik Seksyen 16, Seksyen 10, Seksyen 11, Taman Alam Indah Seksyen 33, Teres A Seksyen 25, Teres C Seksyen 27, Teres A Seksyen 25 dan Teres A Seksyen 8);

Gombak (Bandar Baru Selayang F2, Kampung Laksamana, Taman Pinggiran Batu Caves Z2, Taman Samudera Timur dan Taman Sri Gombak Zon 3); Subang Jaya (Taman Puchong Perdana dan Taman Serdang Perdana); Hulu Selangor (Bandar Baru Batang Kali); Hulu Langat (Kampung Sg Kantan Kajang dan Kuarters Penjara Kajang); dan di Sepang (Taman Seroja Zon A).

'Kawasan panas' di Kuala Lumpur ialah Apartment Mentari, Lestari, Cendana, Bandar Sri Permaisuri, Flat Sentul Utama, Menara Orkid Bandar Baru Sentul dan Taman Setiawangsa, manakala di Pahang ialah Taman Mahkota Bukit Sekilau, Kuantan dan di Perak membabitkan kawasan Taman Mewah Kamunting, Taiping.

Sementara itu Dr Ismail berkata pada keseluruhannya terdapat 273 lokaliti wabak itu di seluruh negara berikutan terdapat sekurang-kurangnya dua kes dilaporkan di setiap lokaliti dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Sebanyak 195 kes dilapor di Selangor, Kuala Lumpur (32), Johor (11), Pahang (9), Perak (8), Pulau Pinang (6), Sabah (3), masing-masing dua di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka serta satu kes di Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Mengenai keadaan denggi semasa, Dr Ismail berkata sebanyak 1,310 kes dengan lima kematian dilapor di seluruh negara bagi tempoh 18 Jan hingga 25 Jan lepas, berbanding 1,578 kes dan empat kematian pada minggu sebelumnya.

"63 peratus daripada kes ini berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur, manakala negeri lain juga menunjukkan peningkatan kes kecuali Terengganu, Sabah dan Labuan," katanya.

Bagi kes Chikungunya, Dr Ismail berkata sebanyak 136 kes dilapor dalam tempoh yang sama dengan majoriti kes ialah di Perak (48), Selangor (24), Johor (17) dan Kelantan (16).

Secara keseluruhan, jumlah kes denggi sejak 1 Jan hingga 25 Jan tahun ini ialah 4,521 kes dengan 13 kematian, manakala Chikungunya mencatat 500 kes, katanya.

Maklumat denggi dan Chikungunya boleh didapati daripada laman web kementerian di www.moh.gov.my atau daripada fasiliti kementerian berdekatan.

-- BERNAMA

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:
  • Perlindungan dari gigitan nyamuk.
  • Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
  • Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk


Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang

Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.


Musnahkan tempat pembiakan nyamuk

Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:

  • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
  • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
  • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.
  • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
  • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.



Hapuskan nyamuk Aedes dewasa

Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.

Info daripada: http://www.infosihat.gov.my/isusemasa.php?id=17

Cegah Denggi/Chikungunya

Apa itu COMBI ..?

PROGRAM COMBI


COMBI ialah singkatan bagi "COMmunication for Behavioural Impact" (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) iaitu satu program menggunakan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkahlaku manusia.

Konsep telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan digunakan oleh beberapa buah negara dalam mencegah dan mengawal penyakit Tuberkulosis (TB), Kusta dan Filariasis.

Di Malaysia, pendekatan ini digunakan bagi mencegah dan mengawal penyakit Demam Denggi.



Dua Tingkahlaku yang diamalkan dalam program COMBI:

- Periksa dalam dan luar rumah setiap hujung minggu dan hapuskan
tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.

- Dapatkan rawatan segera di hospital/ klinik kesihatan sekiranya
demam dan mempunyai tanda-tanda demam denggi.

CHIKUNGUNYA


Tanda dan Gejala

Masa inkubasi/peram demam chikungunya biasanya 3-7 hari. Gejalanya adalah amat serupa dengan demam denggi, tetapi demam chikungunya jarang diikuti oleh pendarahan atau sindrom shock (shock syndrome).

Orang yang dijangkiti mungkin mengalami gejala berikut:

  • Demam
  • Kesejukan
  • Sakit kepala
  • Letih
  • Loya
  • Muntah
  • Sakit otot
  • Ruam
  • Sakit sendi.

Rawatan

Masa kini tiada ubat atau vaksin untuk rawatan demam chikungunya. Walau bagaimanapun dengan banyak berehat, memakan makanan berzat, banyak minum air dan mengambil ubat penahan sakit, boleh mengurangkan gejala demam dan sakit badan. Jika anda mempunyai gejala tersebut di atas, anda dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera.

Pencegahan

Tip-tip semasa mengembara/bersiar

  • Guna sapuan pencegah serangga pada kulit yang terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari.
  • Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang semasa keluar bersiar.
  • Jika boleh tinggal dalam tempat yang mempunyai skrin pelindung pada tingkap atau penghawa dingin untuk menjauhi nyamuk

Walau bagaimanapun jika anda masih mengalami demam, berjumpalah doktor segera dan lakukan ujian darah. Jika ujian darah anda didapati positif dengan virus ini, tinggal di dalam rumah untuk mengurangkan gigitan nyamuk dan ini dapat mengelak bertambahnya rebakan jangkitan. Di rumah cara pencegahan demam chikungunya ini adalah sama dengan demam denggi. Pembersihan air takungan dalam pasu bunga, bekas bunga, saluran bumbung dan tin minuman dapat mengelak pembiakkan pembawa nyamuk Aedes.

Tanda-Tanda Demam Denggi

Demam Denggi


Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyperendemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang-kala oleh Aedes albopictus).

Demam denggi adalah sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh virus denggi dan dibawa oleh nyamuk aedes.

Pada masa ini, tiada ubat khusus untuk merawat penyakit itu kecuali aktiviti pencegahan adalah amat penting.

Antara tanda-tanda demam denggi ialah:

  1. Demam kuat yang mengejut dan berterusan
  2. Bintik merah pada kulit
  3. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala
  4. Berdarah pada badan, hidung dan mulut
  5. Hilang selera makan
  6. Muntah-muntah
  7. Sakit perut
  8. rasa pahit pada lidah